Sunday, May 1, 2011

Allah Sebagai Matlamat

 Bismillahirrahmanirrahim..

Tugas, risalah dan matlamat kejadian setiap insan adalah untuk beribadah kepada Allah swt sebagaimana firmannya :
“Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu.” (QS Az Zariaat : 56)
Ibadah yang dimaksudkan ialah yang syumul dan lengkap.
Setiap insan tidak dapat mencapai kebahagiaan, kebebasan, kemuliaan, ketamadunan dan kemanusiaannya kecuali dengan keikhlasan ubudiyah kepada Allah semata-mata. Diri insan yang mulia terletak pada kehinaannya di hadapan Allah swt.
Oleh itu, seorang muslim merupakan seorang hamba yang bebas apabila ia mengungkapkan :
“Hanya engkau yang kami sembah dan hanya engkau yang kami mohon pertolongan”.
Ibadahnya mengambil semua detik kehidupannya, tidak kira samada :
  1. Malam atau siang.
  2. Ketika menjadi rahib di malam hari atau bagaikan pahlawan di siang hari.
Dia adalah hamba di dalam masjid, rumah, institusi, tempat kerja dan di jalanraya.
“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya.” (QS Al-An’aam : 162-163)
Dia ialah hamba dalam :
  1. Kehidupan pendidikannya.
  2. Ilmunya.
  3. Politiknya.
  4. Sosialnya.
  5. Kekeluargaannya.
  6. Kehidupan peribadinya.
  7. Kehidupan umumnya.
  8. Perancangannya.
  9. Pengurusannya.
  10. Hala tujunya.
Ciri istimewa yang ada padanya ialah ibadah kepada Allah. Garis tetap dalam kehidupannya ialah ibadah.
“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid.” (QS Al Bayyinah : 5)
Ini adalah kerana hanya dengan ibadah, kita boleh sampai ke peringkat pimpinan dunia.
Benarlah kata-kata Imam Hasan Al-Banna :
“Jadilah kamu hamba-hamba sebelum menjadi pemimpin. Ibadah menyampaikan kamu kepada sebaik-baik kepimpinan”.
Oleh yang demikian, dia tidak akan meninggalkan perhambaannya itu selama-lamanya.
Kesempurnaan ibadah menyebabkan dia tidak takut kepada keganasan ‘thaghut’, walaupun tidak mempunyai apa-apa kekuatan material.
“Dan ingatlah ketika kamu sedikit bilangannya serta tertindas di bumi, kamu takut orang-orang menangkap dan melarikan kamu, maka Allah memberi kamu tempat tinggal dan diperkuatkanNya, serta di kurniakanNya kamu daripada rezeki yang baik, supaya kamu bersyukur.” (QS Al Anfal : 26)
Di samping itu kita boleh katakan bahwa seseorang insan tidak akan maju dengan kedua belah kakinya tetapi ia akan bergerak laju dengan tiga perkara iaitu :
  1. Akalnya.
  2. Jasadnya.
  3. Jiwanya.
PUNCA YANG BERSIH
Al-Quran merupakan punca yang bersih bagi muslim di zaman Rasulullah saw, walaupun wujudnya tamadun Rom dan Parsi, bahkan Yahudi dan Nasrani di Semenanjung Tanah Arab.
Mereka tidak membaca Al Qur’an sebagai satu keseronokan atau kebudayaan, tetapi dibaca untuk dilaksanakan serta merta.
Seolah-olah apabila seseorang daripada mereka masuk Islam, dia telah mencabut semua unsur jahiliyah dari tengkuknya seperti seorang bayi yang berbogel bersedia untuk memakai baju Islam.
“Dan pakaian taqwa itu ialah sebaik-baik pakaian”
Kekuatannya diambil daripada iman dan aqidahnya yang menerangi kehidupannya.
Dia berakhlak dengan aqidah ini sehingga membentuk keperibadian seorang individu. Individu itu membentuk masyarakat. Mereka diikat dengan kesatuan perasaan, nilai dan kasih sayang.
Tidak akan wujud kesatuan dalam masyarakat jika tiada kesatuan perilaku dan akhlak pada setiap individunya.
Oleh itu sistem akhlak Islam merangkumi setiap sudut kehidupan insan samada sosial, politik dan sebagainya. la menggariskan :
  1. Hubungan insan sesama insan.
  2. Hubungan insan dengan Penciptanya.
  3. Hubungan insan dengan alam semesta.
Daripada situ, berlakulah keseimbangan di samping jelaslah segala hak dan tanggungjawab.
Sabda Rasulullah saw :
“Sesungguhnya Tuhanmu ada hak ke atasmu, dirimu ada hak ke atasmu, keluargamu ada hak ke atasmu, isterimu ada hak ke atasmu, maka tunaikanlah setiap yang mempunyai hak akan haknya”.
Jika kita dapat menunaikan tanggungjawab dan hak kesemuanya, sudah pasti kita dapat bangkit untuk mencapai matlamat. Betulkah kita ingin bangkit? Ya betul, namun matlamat kebangkitan ialah untuk mencapai ubudiyah kepada Allah swt.
Maka kita hendaklah menjadi hamba-hambanya yang :
  1. Sentiasa berwudu’ dan bersujud.
  2. Sentiasa bengkak kaki akibat ibadah.
  3. Air matanya yang sentiasa mengalir.
  4. Lidahnya yang sentiasa berzikir.
  5. Hatinya yang bergetar kerana Allah.
  6. Anggota tubuh badannya yang sentiasa khusyu’.
“Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadi mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian daripada apa yang kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpahan kurnia yang mulia (di syurga).” (QS Al Anfaal : 2-4)
Mereka adalah mu’minun sebenar kerana matlamat mereka ialah Allah sehingga masuk ke syurga pun matlamat mereka tetap Allah.
Matlamat ini ialah unsur tetap dakwah. Unsur tetap ini menuntut setiap individu yang bergabung dengan dakwah ini agar sentiasa menimbang segala aktiviti berdasarkan neraca matlamat ini.
Setiap sesuatu yang bermaksud untuk keredhaan Allah adalah diterima dalam dakwah ini.  Sebaliknya setiap sesuatu yang menyebabkan kemurkaan Allah adalah dibenci dan tidak diterima dalam dakwah ini.
KERAJAAN HANYALAH WASILAH
Sistem dan pengurusan bahkan kerajaan, NGO dan jamaah-jamaah yang ditubuhkan oleh manusia hanyalah sebagai wasilah untuk menunaikan tujuan atau objektif dan ia bukanlah matlamat itu sendiri.
Namun kemuliaan wasilah diimbas dari kemuliaan matlamatnya dan ia dilakukan untuk tujuan mencapai peratusan terbesar daripada matlamat yang tidak mungkin dicapai melalui usaha individu. Maka dari sini terbentuknya jamaah, kumpulan dan kepimpinan.
Kesan dari itu, maka tidak patut sama sekali dalam apa suasana sekalipun, wasilah bertukar menjadi matlamat tetapi ia hendaklah tetap kekal sebagai wasilah yang ditentukan berkadar dengan keperluan untuk mencapai objektif yang kita imbaskan sebelum ini, iaitu:
“Melaksanakan pengabdian kepada Allah dan memperolehi keredhaannya.”
Oleh itu bukanlah menjadi matlamat dakwah kepada Allah dan amal Islami dalam bentuknya yang berbagai untuk mendapat pemerintahan dan kuasa melalui peribadi-peribadi dan cara-cara yang syari’e atau tidak syari’e.
Sebaliknya pemerintahan itu sendiri pada pandangan muslim tidak lebih hanya sebagai cara untuk :
  1. Merealisasikan ubudiah kepada Allah.
  2. Menyebarkan dakwah.
  3. Melindungi dakwah dalam jangkaan yang lebih luas dan ruangan yang lebih syumul.
Ini adalah kerana bagi seorang muslim, perkara yang utama ialah merealisasikan pengertian dan maksud yang dikehendaki oleh Islam, kemudian ia meneruskan perjalanan amal Islami dan terpikul ke atas bahu mereka tanggungjawab-tanggungjawab baru yang kian berkembang dalam rangka menyempurnakan pengabdian diri kepada Allah dengan ‘taklif’ yang lebih besar. Yang menjadi matlamat kepada itu semua ialah Allah.
Firman Allah swt :
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi niscaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (QS Al Hajj : 41)
Sesungguhnya, seseorang muslim itu apabila tidak menyempumakan pengabdian ini dan menunaikan hak yang sepatutnya, ia akan menjadi seburuk-buruk hidupan yang merayap seperti yang dijelaskan oleh Allah swt :
“Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya). Dan kalaulah Allah mengetahui ada kebaikan pada mereka, tentulah Ia menjadikan mereka dapat mendengar; dan kalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar juga (dengan keadaan yang demikian), niscaya mereka tidak menerimanya sambil memalingkan diri.” (QS Al Anfaal : 22-23).
NATIJAH PERLAKSANAAN
Dengan terlaksananya ‘ubudiah’ (pengabdian), akan tercernalah pada diri seseorang muslim :
  1. Perasaan takut kepada Allah swt.
  2. Iltizam dalam bentuk akhlak dan peradaban terhadap perkara yang ia percayai dan anuti.
  3. Rasa tanggungjawab individu yang membawa kepada penggabungan.
  4. Cinta untuk melakukan kewajiban walau apa risiko sekalipun.
  5. Menghargai masa dan bimbang akan terlepas kerana ia akan dihisab terhadap cara penggunaannya. Maka ia tidak mensia-siakanya dengan bertengkar dan berdebat sebaliknya digunakan sebaiknya untuk beramal dan membuat pengorbanan.
  6. Bersikap positif dalam melaksanakan tuntutan dengan melakukan proaktif dan bertindak menyegerakan tindakan.
  7. Menanamkan rasa tenang dalam diri, optimis dalam hati serta ‘thiqah’ kepada Pencipta.
  8. Mengurniakannya keberanian, kegagahan dan tidak takut dalam diri. Lalu ia mengenalpasti halangan-halangan di perjalanan. Dengan sifat sifat itu ia mengatasi kesukaran, mengatasi kepayahan, meredah kebatilan, menyebarkan kebenaran dan menuntut bela terhadapnya. Ia meyakini akan kemenangan serta menunggunya atau memperolehi shahadah.
  9. Menggunakan senjata kebenaran, keikhlasan, iltizam dan kelainan dan senjata ukhuwah dan thiqah kepada Allah.
  10. Gigih melaksanakan akad keimanan dan akad ukhuwah, dibantu oleh kethiqahan hanya kepada Allah dan kemudian kepada saudaranya.
Semua unsur-unsur di atas tidak akan terlaksana kecuali dengan keikhlasan beramal dan menyerahkan diri kepada Allah Tuhan Seru Sekalian Alam.
Ini adalah kerana pertautan yang kukuh hanya dapat dicetuskan oleh iman, sebagaimana kehilangannya adalah satu wajah dari wajah kekufuran.
Allah swt berfirman :
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara.”
Firmannya lagi :
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani ) yang diberikan Kitab itu, niscaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.” (QS Ali Imran : 100)
Para ulama’ mengatakan bahawa ayat-ayat yang mulia ini bermaksud :
Mereka, yakni ahli kitab menjadikan kamu berpecah belah setelah kamu bersatu padu. Mereka tidak menjadi begitu kecuali apabila berselisih hati, berpecah dan bercabang dari segi matlamat.
Dalam kes yang seperti inilah turunnya ayat tersebut dan kerana urusan inilah ia didedahkan.
Rasulullah saw menarik perhatian kita kepada pengertian ini sewaktu ia menghadapkan mukanya kepada sahabat-sahabat baginda radhiyallahu anhum dan mengimbas kepada sebab turunnya ayat ini lalu berabda dengan maksud :
“Jangan kamu kembali selepasku menjadi kafir, sebahagian kamu memenggal tengkuk sebahagian yang lain.”
Untuk tujuan itulah, Al Qur’an memandu kepada nilai ukhuwah dan kesatuan di atas asas Agama dan kerana itulah juga wirid rabithah mengingatkan kita kepada kesatuan hala tuju
dan matlamat pada waktu kita berdoa untuk sahabat kita.
Maka pertemuan di sini bukanlah pertemuan tubuh badan tetapi ianya adalah pertemuan hati-hati di atas kecintaan kepada Allah dan ketaatan kepadanya.
Itu semua tidak akan berlaku kecuali apabila :
  1. Allah menjadi matlamat kita.
  2. Rasulullah saw menjadi ikutan kita.
  3. Al Qur’an menjadi perlembagaan kita.
  4. Jihad menjadi jalan kita.
  5. Mati di jalan Allah menjadi setinggi tinggi cita-cita kita.
Sesungguhnya mengukuhkan pegangan bahawa Allah matlamat kita adalah antara unsur tetap dalam dakwah kita yang perlu diawasi dan kepekaan bahawa segala yang bercanggah dengan matlamat ini perlu ditolak di samping ianya mampu menimbulkan kesedaran untuk berdepan dengan segala perkara yang membatalkan matlamat ini.
Memelihara syiar “Allah sebagai matlamat kita” sebagai satu ungkapan kepada tujuan kita yang tertinggi menuntut susunan objektif lain diletakkan di tempatnya yang sesuai pada tahap-tahap amal.
Ini bererti, kita tidak boleh mengabaikan objektif strategi yang boleh menyampaikan kita kepada matlamat yang tertinggi ini, sebagaimana kita tidak mungkin bertolak ansur untuk meninggalkan mana-mana tahap daripada tahap-tahap yang telah ditetapkan.
Menegakkan ‘Khilafah Ar Rasyidah’ di atas manhaj ‘Nubuwwah’ misalnya adalah salah satu daripada tahapan yang tidak akan menyampaikan kita kepada matlamat tanpa menegakkannya.
Apa yang boleh kita fahami di sini bahwa adalah tidak patut kita menggugurkannya dari pegangan kita.
Ketidakmampuan kita untuk menegakkannya hari ini lantaran penguasaan musuh kita dan cengkaman sistem mereka yang bersifat sejagat terhadap keupayaan kita serta kedudukan mereka yang mengatasi kita tidak bererti kita perlu memadamkannya dari tahapan amal kita.
Begitu juga, kita tidak perlu menghapuskannya dari matlamat kita kerana menyelamatkan diri dari pembantaian musuh, kerana ini akan menyebabkan berlakunya pengaburan kepada generasi akan datang serta memesongkan mereka dari salah satu kewajiban mereka yang juga merupakan
penurunan pada tahapan objektif kita yang akan menyebabkan mereka berada pada anak tangga di bawah dari yang sepatutnya dan seterusnya menghalang mereka dari merealisasikan matlamat membawa kebahagiaan yang abadi iaitu Allah adalah matlamat kita.
PENEYELEWENGAN DARI MATLAMAT
Penyelewengan dari matlamat adalah sebahaya-bahaya bentuk penyelewengan dan halangan yang paling serius terhadap tarbiah.
Oleh yang demikian, setiap ‘murabbi’ mesti mengetahui bahawa matlamat keberadaan kita di atas jalan dakwah ini ialah semata-mata untuk Allah swt.
Jauhnya kita dari matlamat atau penyelewengan daripada matlamat bererti ia bermaksud selain dari Allah dan ianya sedia diketahui bahawa penyelewengan bentuk ini walaupun sedikit akan mendedahkan manhaj tarbiah kepada kecacatan yang membahayakan.
Akhirnya, riya’, bongkak, sombong, angkuh, ingin menjadi ketua, menonjol diri dan mahu ke depan serta kecenderungan duniawi lain yang hina adalah antara penyakit hati yang menyelewengkan sesiapa yang dijangkitinya daripada matlamat asal di mana, ianya akan  merosakkan amal dan mengugurkan niat yang ikhlas.
Tidak semestinya penyelewengan dari matlamat itu bererti berpaling kepada tujuan-tujuan keduniaan semata-mata, tetapi hanya dengan wujudnya penyelewengan samada dalam tasawwur atau amal, ia akan menganggu manhaj tarbiah yang sahih.
Mereka yang menjadikan matlamat mereka untuk :
  1. Mengukuhkan struktur tanzim.
  2. Mengemaskan perancangan strategi.
  3. Menjadikan matlamat mereka untuk mendirikan tamadun kebendaan dan ilmu teknologi.
Itu semua adalah urusan yang dituntut dan digalakkan tetapi ia bukanlah matlamat. Ia hanyalah wasilah-wasilah untuk mencapai natijah.
Sekadar mana seseorang itu melakukan usaha dan mengikhlaskan niat, ia akan diberi ganjaran berdasarkan usaha dan niatnya. Ia dengan itu telah mencapai satu darjat dari darjat syuhada’, walhal ia berada di rumahnya.
“Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata : “Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu”, mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan airmata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah.” (QS At Taubah : 92)
Dengan ruh yang seperti inilah, kaum muslimin telah mencapai kemenangan dan dengan semangat yang seperti inilah, kalimah mereka menjadi tinggi.
Bandingkan pula, di mana kedudukan kita dari mereka.
Firman Allah swt :
“(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang ruku’, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).” (QS At Taubah : 112)
Di manakah ruh kita dari kumpulan yang menjadikan Allah sebagai matlamat mereka (Allah matlamat kita dalam tutur kata dan perbuatan kita) di mana ia diberi ganjaran samada ia telah membuahkan hasil dan memetik buah atau menanam benih dan hasilnya dituai oleh generasi yang seterusnya.
Benarlah sabda Rasulullah saw ketika baginda mengucapkan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Jabir bin Abdullah Al Ansari ra yang bermaksud :
Kami bersama Nabi saw dalam peperangan Tabuk, lalu baginda bersabda :
“Sesungguhnya di Madinah ada lelaki yang sentiasa bersama kamu setiap kali kamu menyambung perjalanan dan meredah lembah tetapi mereka dihalang oleh sakit (dalam satu riwayat – mereka berkongsi pahala dengan kamu.)” (HR Muslim)
Junjungan besar Nabi Muhammad saw adalah pembawa risalah yang telah berbicara mengenai
berita besar ini bagi menenangkan hati para sahabat tentang saudara-saudara mereka yang tidak berkesempatan keluar berjihad kerana keuzuran.
Baginda menanam kasih sayang di dalam hati mereka serta mempertautkan antara jiwa-jiwa mereka.
  1. Mereka semua di lapangan perjuangan Islam seolah-olah satu jasad.
  2. Mereka dikumpulkan oleh niat yang baik.
  3. Mereka diikat dengan ketulusan niat menuju satu hadaf.
  4. Mereka menuju ke Tabuk sebagai tentera mujahidin.
  5. Mereka mendapat pahala kerana menanggung kesukaran perjalanan.
  6. Mereka mendapat ganjaran ketika berpisah meninggalkan keluarga dan tanah air.
  7. Mereka meneruskan perjalanan menjual nyawa mereka di jalan Allah dengan harga yang murah.
  8. Mereka adalah golongan yang dihalang oleh keuzuran, sakit pada jasad dan tubuh badan, namun ketulusan iman menggerakkan mereka. Hati mereka bergelora dengan jihad serta melonjak-lonjak untuk menemui musuh.
  9. Mereka dijadikan oleh Rasulullah saw sebagai rakan kongsi kepada pahala dan ganjaran lantaran ketulusan niat mereka.
Baginda gabungkan mereka kepada kumpulan mujahidin dengan ruh mereka.
Sesungguhnya Allah melihat kepada hati yang melompat kerana cintakan jihad dan terbang kepada kebaikan di mana ia berlegar bersama ketulusan di semua lapangan. Yang menjadi ukuran dalam semua keadaan ialah pada hati kerana matlamat kedua-dua mereka adalah Allah.
Adapun, apabila matlamat sudah terpesong di mana :
  1. Tamadun mesti terbina.
  2. Perancangan mesti berjaya.
  3. Penilaian dilihat kepada natijah amal tanpa mengambil kira keadaan dan akhlak.
  4. Pahala diukur setakat mana amal menatijahkan hasil.
Maka itu semua adalah jauh dari matlamat.
Ketika mana kita jadikan Allah sebagai matlamat, Allah swt mengatakan :
“Maka barangsiapa yang melakukan amal kebaikan sebesar zarrah, ia akan melihatnya dan barangsiapa yang melakukan keburukan sebesar zarrah, ia akan melihatnya.” (QS Al Zalzalah : 7-8)
Pahala bagi satu zarrah amal menjadi penting apabila matlamat kita adalah Allah.
Oleh yang demikian, ketika mana kita menilai seseorang lelaki berdasarkan aktiviti mereka tanpa melihat kepada jauh dekat mereka daripada matlamat, sesungguhnya kita telah melakukan kesilapan kerana tidak memberikan mereka nilainya yang sebenar di mana kita memperkecilkan amalan mereka dan mengurangkan sukatannya. Ini menyebabkan perjalanan kita terganggu oleh kesalahfahaman yang seperti ini.
Kadang-kadang seseorang muslim berjaya melaksanakan sesuatu perancangaan, tetapi ia :
  1. Gugur dalam ujian yang dahsyat.
  2. Terperangkap oleh hawa nafsu dalam dirinya.
  3. Dihidapi penyakit hati (ghurur) yang mengugurkan amal, meskipun halus dan ianya akan merosakkan perancangan walaupun kewaspadaan telah diambil.
Ini semua berlaku ketika mana seorang muslim menyangka bahawa ia mempunyai keistimewaan yang mengatasi orang lain dari segi :
  1. Pengalaman.
  2. Kecerdikan.
  3. Kebijaksanaan dalam mengurus.
  4. Mahir dalam seni berpolitik.
  5. Selok belok strategi.
  6. Perancangannya dan teknik-teknik berkonfrantasi dengan musuh.
Iapun mula :

0 comments:

 

Template by Suck My Lolly - Background Image by TotallySevere.com